LAWATAN YAB MENTERI BESAR JOHOR KE GUNUNG LAMBAK, KLUANG
LAWATAN YAB MENTERI BESAR JOHOR KE GUNUNG LAMBAK, KLUANG
credit to: TOURISM JOHOR
KLUANG, 23 Ogos 2025 – Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor, hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke Gunung Lambak bagi meninjau potensi pembangunan pelancongan dan penambahbaikan kemudahan sedia ada di kawasan tersebut.
Dalam lawatan berkenaan, YAB Menteri Besar Johor sempat meluangkan masa meninjau kawasan rekreasi bersama pimpinan kerajaan negeri dan wakil-wakil agensi berkaitan, selain meneliti keperluan pengunjung yang merangkumi kemudahan asas serta infrastruktur sokongan pelancongan. Antara perkara yang diberi perhatian termasuklah penyediaan tandas awam yang lebih selesa, kawasan parkir yang teratur, surau, ruang rehat keluarga, pusat informasi pelancong, serta laluan mendaki yang lebih mesra pengguna.
Turut hadir mengiringi YAB Menteri Besar Johor ialah Yang Berhormat Dato’ Haji Asman Shah bin Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Johor; Puan Hajah Azurawati binti Wahid, Pegawai Daerah Kluang; Encik Mohd Fahmy bin Yahya, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang; Encik Mohammad Nazrul bin Abd. Rahim, Pengarah Tourism Johor; serta Encik Taufik bin Bahar, Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor.
Lawatan ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri Johor dalam memperkukuh sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi dengan memenuhi keperluan pengunjung secara menyeluruh. Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha persediaan menjelang Visit Johor 2026, yang dijangka menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.

